Tentera merah bantu kelancaran PRK

Disebalik kelancaran lalulintas dan ketenangan persekitaran kawasan Markaz Induk PAS di Jalan Pantai Batu 3 1/4, sebenarnya ada satu pasukan ketenteraman awam PAS yang sentiasa bersedia 24 jam untuk berkhidmat di sana.

Nama 'tentera merah' biasanya digunakan untuk merujuk kepada pasukan Unit Amal PAS yang berseragam merah, berseluar hitam dan ber'beret' merah. Mereka inilah yang bertugas 24 jam mengikut giliran mengawal lalulintas yang memang sibuk dan kadangkala menimbulkan kesesakan pada masa-masa tertentu.

Wartawan bertugas sempat menemuramah seorang 'tentera merah' yang saban hari sentiasa setia menjalankan tugasnya tanpa rasa jemu dan sungutan. Wajahnya menjadi saksi usianya yang bukan lagi dikalangan anak muda.

Encik Mohd Zamhuri Mohd Tahir, 62, berkata dia begitu teruja dengan kerja-kerja keselamatan dan kebajikan ini sejak dari muda. Beliau yang berasal dari Perak berkata, penglibatannya secara aktif dalam Unit Amal adalah selepas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Beliau memberitahu, sebelum ini beliau hanya bertugas secara sukarela secara berseorangan atas dasar ingin membantu parti dan agama. Malah juga terlibat dengan banyak operasi pencegahan maksiat di Perak.

Diifahamkan, seramai 20 orang petugas Unit Amal Malaysia telah bertugas mengikut giliran sepanjang 24 jam sehari bermula sebelum hari penamaan calon lagi.

Anak-anak muda ini menunjukkan kesetiaan dan kecekapan menjalankan tugas yang diamanahkan walau dalam keadaan panas atau hujan. Saban waktu, kerja ikhlas mereka dibalas dengan ucapan terima kasih dan senyuman dari sesiapa sahaja, sama ada pemimpin besar parti, petugas parti atau orang awam.

Tapi, tidak kurang juga mereka dihadiahkan dengan bebelan dan cemuhan kerana tidak dibenarkan 'parking' kereta di kawasan yang tidak dibenarkan. Tetapi mereka tetap meneruskan amanah yang digalas dengan penuh dedikasi. Cuba fikir jika kumpulan semut merah ini tiada, siapakah yang akan berada dihadapan sewaktu perhimpunan besar seperti demontrasi ISA 1 September lalu.

Kepada Unit Amal seluruh negara yang sedang bertugas, teruskan thabat anda. Syabas diucapkan!

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin
 
UAKR Template by SUUAKR | Dragon Hill And adaptation in blogger by Ctemplates