Perhimpunan mansuhkan ISA berjaya - Cif Komander

Walaupun gagal menyerahkan memorandum menggesa ISA dimansuhkan ke Istana Negara ekoran sekatan pihak polis, Cif Komander Himpunan Mansuhkan ISA, Salahuddin Ayub tetap menganggapnya sebagai berjaya.

ImageKetika dihubungi Harakah sebentar tadi, Salahudin berkata walaupun banyak rintangan dan halangan yang dihadapi para peserta perhimpunan, mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk terus berhimpun secara aman.

Menurutnya, walaupun kerajaan BN menggunakan media massa dan pasukan polis untuk menggagalkan perhimpunan itu, kehadiran puluhan ribu rakyat daripada segenap lapisan masyarakat membuktikan sokongan padu mereka agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

"Walaupun memorandum tidak dapat diserahkan kepada Istana Negara, kita amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat yang berkumpul secara aman bagi menggesa ISA dimansuhkan," katanya.

ImageMenurutnya, disiplin dan kesabaran tinggi ditunjukkan para peserta perhimpunan dalam menghadapi provokasi dan tindakan ganas pihak polis membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah matang dalam melaksanakan hak-hak mereka yang digariskan Perlembagaan termasuk hak berhimpun secara aman.

Ini katanya terbukti apabila tiada harta benda awam yang musnah dalam perhimpunan membabitkan puluhan ribu orang itu.

Mengulas tentang jumlah tangkapan yang tinggi pada perhimpunan kali ini, Salahuddin berkata pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah menyediakan 30 peguam untuk memastikan mereka yang ditahan selamat dalam tahanan polis dan dibebaskan segera.

ImageBeliau yang juga Naib Presiden PAS mahu kerajaan BN melihat perhimpunan hari ini sebagai isyarat jelas daripada rakyat yang menuntut akta zalim itu dimansuhkan.

GMI juga, katanya akan terus mengadakan program susulan bagi menggesa ISA dimansuhkan.

"Kita juga akan tetap menyerahkan memorandum kepada Istana Negara pada minggu hadapan," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta perhimpunan dan pihak yang membantu menjayakan perhimpunan itu.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin
 
UAKR Template by SUUAKR | Dragon Hill And adaptation in blogger by Ctemplates